Kelantan batalkan bazar Ramadan, Aidilfitri seluruh negeri

KOTA BHARU: Bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negeri ini, dibatalkan susulan peningkatan berterusan kes jangkitan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, memaklumkan perkara berkenaan menerusi kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Dr Izani turut memaklumkan, kemudahan Madinah Ramadan juga ditukar menjadi Pusat Rawatan Dan Kuarantin COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) sebagai ikhtiar kerajaan negeri demi membendung penularan wabak berkenaan.

Semalam, kes jangkitan harian COVID-19 di Kelantan mencatat 171 kes dan berada di kedudukan ketiga tertinggi selepas Sarawak dan Selangor.

Pada masa sama, Kelantan juga merekod satu kluster baru iaitu Kluster Bandar Baru Kubang Kerian yang membabitkan tempat kerja di daerah Tumpat, Bachok, dan Kota Bharu.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob membenarkan bazar Ramadan beroperasi sepanjang bulan puasa ini dengan jumlah kapasiti penjual dan pembeli yang bersesuaian dengan lokasi selain perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ahmad dilaporkan berkata, penjual hanya dibenarkan melayan dua orang pelanggan pada satu-satu masa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *