Neelofa Dikompaun RM 20,000, Suami RM 10,000 Kerana Langgar SOP PKPB

Selebriti terkenal, Neelofa dilapor dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 bagi dua kesalahan tanpa sebarang diskaun, umum Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah.

Bagi kesalahan pertama, selebriti tersebut gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan berkenaan prosedur operasi standard (SOP) selaku penganjur majlis perkahwinan apabila gagal mewujudkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikahnya baru-baru ini.

Selain itu, kesalahan kedua pula adalah tindakan melanggar kebenaran merentas negeri memandangkan ada antara aktiviti tersebut berada di luar skop kebenaran yang diberikan pihak polis.

Dalam masa sama tambah Mohamad Zainal, suami Neelofa iaitu PU Hariz juga turut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 atas kesalahan melanggar kebenaran rentas negeri yang diberikan.

Tidak kurang juga, kesemua ahli keluarga Neelofa seramai 20 orang turut dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang yang berjumlah RM30,000 keseluruhannya kerana dilapor gagal menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

Mohamad Zainal berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini, memetik laporan ringkas BERNAMA dan Awani. Berita lanjut menyusul.

Sumber: Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *