Budak Tujuh Tahun Dilapor Diikat Pada Kayu, Dilumur Madu Untuk ‘Panggil’ Lebah, Dipercayai Sebagai Hukuman Dituduh Mencuri

Seorang budak berusia tujuh tahun dilaporkan telah diikat pada tiang kayu oleh bapanya sebagai hukuman setelah jirannya mendakwanya mencuri. Kejadian tersebut berlaku di sebuah kampung, wilayah Shebin El Qanater, Mesir, lapor Daily Star.

Menurut sumber, budak lelaki tersebut diikat dengan tali dan dilumurkan dengan madu untuk menarik kehadiran lebah sebagai hukuman oleh bapanya. Budak itu dilaporkan telah ditinggalkan di atas bumbung rumah mereka namun tidak jelas berapa lama tempohnya.

Berikutan kejadian itu, bapanya, 34 tahun telah ditangkap pada hari Selasa, 25 Mei baru-baru ini.

Gara-gara madu yang melekat di seluruh tubuh budak lelaki itu, sekumpulan nyamuk dan lebah mula mendekatinya.

Jelas portal, ibu kepada budak lelaki itu, 29 tahun, berasa ngeri ketika melihat hukuman anaknya dan memutuskan untuk meminta pertolongan dari kumpulan penyelamat kanak-kanak. Wanita itu juga telah mengambil gambar kejadian itu untuk dijadikan bukti.

Tidak lama selepas itu, peguam pendakwa dari gabenor Qalyubia Mesir dihubungi dan memulakan siasatan. Ketika itu, budak itu dikatakan telah ditemukan dalam keadaan “menyedihkan” oleh pihak berkuasa.

Pakar perubatan memeriksanya dan mencatat sejauh mana kecederaan yang dialaminya. Namun, masih belum ada maklumat terkini mengenai statusnya.

Ibu kepada budak lelaki yang kini dilaporkan tinggal di kampung lain itu, turut mendakwa suaminya akan memukulnya dan mencari cara baru untuk menyeksa anak mereka.

Menurut portal berita Al Arabiya, wanita itu mendakwa suaminya telah membiarkan anaknya tanpa sebarang makanan dan minuman untuk jangka masa yang lama.

Walaupun lelaki tersebut telah ditangkap oleh pihak berkuasa, masih tidak jelas sama ada dia didakwa secara rasmi atau tidak. Namun, siasatan sedang dijalankan.

Sumber: Daily Star

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *