“Ibu pesan jaga adik baik2.” -Lima beradik yatim piatu sekelip mata angkara Covid-19

Kebahagiaan 5 beradik seakan ‘direntap’ apabila ibu dan bapa mereka meninggal dunia disebabkan pandemik Covid-19.

Menerusi Berita Harian, Muhammad Haidir tidak menyangka pesanan menerusi panggilan video oleh ibunya merupakan amat terakhir buatnya bagi mengambil alih tanggungjawab menjaga adik-beradik.

Ibu pesan jaga adik baik2

Ujian berat buat lima beradik bermula apabila ayah mereka, Rodzi Tahar, 55, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tampin pada 31 Mei lalu, disusuli ibunya, Nazita Idris, 45, yang meninggal dunia enam hari kemudian di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).

“Kami berasa sedih namun reda dengan ketentuan Allah atas pemergian ibu bapa tersayang. Perkara paling menyedihkan apabila kami sekeluarga tidak dapat mencium jenazah arwah ibu dan bapa buat kali terakhir, namun doa dan ingatan sentiasa ada buat mereka,” katanya ketika dihubungi.

Muhammad Haidir yang juga merupakan anak sulung dari 5 beradik kini menetap di rumah peninggalan arwah bapa di Bandar Sunggala, Port Dickson bersama-sama empat adiknya, Muhammad Hairie Rodzi, 20, Nurhairieka Rodzi, 18, Muhammad Haiqiel Rodzi, 13 dan Muhammad Khierzamani Rodzi yang berusia tujuh tahun.

Bapa tiada kontak rapat

Menerusi perkongsian daripada Muhammad Haidir lagi,  bapanya mengalami demam biasa pada 26 Mei lalu dan mengambil keputusan untuk menjalani ujian saringan di Hospital Port Dickson pada 29 Mei sebelum disahkan positif pada keesokan harinya sebelum dihantar ke Hospital Tampin.

Tiada siapa dapat melawan kuasa Tuhan apabila mereka sekeluarga menerima khabar duka setelah doktor mengesahkan bapa mereka meninggal dunia pada jam 4.30 pagi keesokan harinya.

“Perkara paling menyedihkan apabila arwah bapa tidak sempat meninggalkan pesanan buat kami selepas dimasukkan ke hospital. Bapa saya mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit buah pinggang, manakala ibu pula mempunyai penyakit darah tinggi. Jadi mereka golongan berisiko.
“Kami tidak tahu punca jangkitan dapat dari mana dan tidak tahu kontak rapat daripada siapa?”, katanya.

Ibu juga pergi 6 hari selepas bapa

Arwah ibunya pula telah melakukan  ujian calitan pada 30 Mei selepas mengalami simptom seperti demam dan batuk serta disahkan positif Covid-19 pada keesokan hari.

Mereka adik-beradik juga didapati positif wabak maut ini dan menjalani kuarantin di rumah, namun tidak mengalami simptom yang teruk serta sudah sembuh daripada jangkitan.

Semoga Haidir serta adik-beradiknya kuat menerima ujian berat ini dan tabah dalam mengharungi hidup tanpa kehadiran ibu serta bapa. Didoakan agar kedua-dua allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Sumber: Berita HarianFoto Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *