[VIDEO] Jenazah Siti Sarah selamat dikebumikan

PETALING JAYA – Jenazah Allahyarham Siti Sarah Raissuddin selamat dikebumikan selepas waktu Zohor kira-kira pukul 1.38 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak dekat sini sebentar tadi.

Suaminya, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad turut kelihatan mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk mengiringi perjalanan akhir isterinya yang tercinta selain membantu urusan pengebumian.

Hanya petugas yang lengkap memakai PPE dilihat berada di bawah kawasan berbumbung hijau yang meneduhi liang lahad tempat jasad Allahyarham disemadikan.

Kosmo! difahamkan, Allahyarham disemadikan di tanah perkuburan yang sama dengan arwah ibunya.

Antara rakan artis yang dilihat hadir memberi penghormatan terakhir dari jauh ialah rakan pelawak, Rahim dengan anggota polis mengehadkan bilangan individu yang dibenarkan masuk ke perkarangan kawasan perkuburan.

Anggota polis turut memaklumkan hanya ahli keluarga terdekat sahaja dibenarkan berada di pekarangan tanah perkuburan dan mengingatkan semua yang hadir termasuk petugas media agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Terdahulu van yang membawa jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan tersebut kira-kira pukul 12.40 tengah hari selepas bergerak dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia pukul 12.13 tengah hari.

Siti Sarah, 37, dikejarkan ke hospital berkenaan sejak Rabu selepas tahap oksigen dalam tubuhnya menurun dan ditidurkan usai melahirkan bayi lelaki yang diberi nama Ayash Affan secara pembedahan pada pukul 5 petang Jumaat lalu.

Beliau dan suaminya dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin yang berusia enam tahun. – K! ONLINE

Kredit : Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *