Tembakan: Anggota TUDM tembak rakan sebelum bunuh diri

KOTA SAMARAHAN – Empat anggota tentera maut dalam kejadian tembak di Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, pagi ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail yang mengesahkan kes itu berkata, kejadian berlaku pukul 7.15 pagi di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM.

“Siasatan awal mendapati salah seorang anggota TUDM dipercayai telah menembak tiga rakannya sebelum menembak diri sendiri.

“Suspek dan dua mangsa telah maut di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa yang cedera parah telah dikejarkan ke Pusat Jantung Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Sudirman Kram dalam satu kenyataan lain berkata, kejadian terbabit dipercayai berlaku apabila suspek yang dikenali sebagai Korporal Udara Ho Swee Boon, telah masuk ke kawasan balai dan mengambil senjata api.

“Melihat suspek mengambil senjata api, salah seorang anggota tentera yang berada di tempat kejadian telah bertanya kepada suspek namun suspek hanya membalas dengan soalan ‘Nak hidup atau mati?’

“Seorang lagi anggota tentera yang dikenal pasti sebagai Korporal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli cuba menenangkan suspek tetapi suspek telah melepaskan tembakan ke arah perut si mangsa.

“Mendengar bunyi tembakan, kesemua saksi yang berada di lokasi sama telah lari bertempiaran menyelamatkan diri,” katanya.

Mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Pusat Jantung Sarawak namun telah disahkan meninggal dunia sekitar pukul 9 pagi semasa sedang menerima rawatan.

Dua lagi anggota tentera yang maut di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Korporal Udara Mohamad Ehsan Sehamat dan Laskar Udara (L/U) Luk Nesly Nabau masing-masing cedera di bahagian belakang dan dada sebelah kanan. – K! ONLINE

Kredit : Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *