Penduduk Dikejutkan Penemuan ‘Kuali Raksasa Zaman Purba’ Ketika Melakukan Kerja Penggalian

Penduduk dikejutkan dengan penemuan objek yang menyerupai kuali berukuran ‘raksasa’ tertanam dalam tanah pada kedalaman tiga meter, ketika seorang pekerja melakukan kerja penggalian, lapor DetikNews pada 1 September 2021.

Penemuan itu bermula ketika penduduk Kretek, Desa Jambidan, Kapanewon Banguntapan, Bantul, Yogyakarta, ingin membina padang permainan untuk kanak-kanak pada selasa 31 Ogos lalu. Namun, ketika menggali tanah menggunakan backhoe, mereka menjumpai objek seperti kuali.

Pada awalnya, penduduk memberitahu penemuan objek tersebut sebagai kuali raksasa zaman purba. Ramai yang mendakwa ‘kuali’ itu digunakan oleh makhluk gergasi. Bagaimanpun, andaian itu tidak benar, objek itu bukan kuali seperti yang mereka katakan.

Memetik laporan DetikNews, Supardi, 57, penyewa tanah di kawasan itu menjelaskan objek berkenaan ditemukan ketika salah seorang pekerja projek melakukan penggalian, dan objek disangka kuali itu merupakan pangkalan pam air yang telah digunakan sejak zaman penjajahan Belanda.

“Orang tua pernah beritahu kawasan ini merupakan tempat pam air oleh Belanda. Ini (objek) bukan untuk memasak tetapi sebahagian daripada mesin pam air,” katanya.

Menurut Supardi, wilayah Jambidan termasuk Kretek pernah dikenali sebagai ladang tebu. Jelasnya, pemerintah Belanda membina pam air di kawasan itu untuk mengairi kawasan ladang.

Katanya, kerajaan dan penduduk tempatan pada tahun 1980 telah merancang untuk mengaktifkan semula sistem pengepaman ini dengan mengambil air dari sungai Opak untuk tujuan pengairan. Namun rancangan itu gagal diteruskan kerana air tidak dapat mengalir ke semua kawasan.

Sementara itu, ketua kampung, Riyan Hidayat juga mengesyaki bahawa objek itu merupakan peninggalan zaman Belanda berdasarkan catatan sejarah. Katanya, warisan budaya telah memeriksa lokasi dan mengatakan bahawa objek itu bukan dari zaman purba.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *