Video Pesakit Covid-19 Minta Dibimbing Ucap Syahadah Tika Dirawat Tular, Raih Perhatian Wargamaya

HIDAYAH itu milik ALLAH.

Tiada siapa mengetahui apa yang bakal akan terjadi pada masa akan datang. Namun saat terbaring di hospital seorang wanita akhirnya mengambil keputusan untuk mengucapkan dua kalimah syahadah.

Terbaru, tular sebuah video di media sosial memaparkan seorang wanita dipercayai pesakit Covid-19 terbuka hati memeluk Islam.

Wanita berkenaan dilihat sedang berbaring di sebuah hospital di Sandakan dengan tiub bantuan pernafasan ketika dibantu petugas perubatan yang lengkap pakaian perlindungan diri (PPE) untuk melafazkan dua kalimah syahadah.

“Ok aunty, aunty tahu kan apa kita mahu buat. Kita dah belajar tadi kan. Kasi niat, seikhlas hati,” kata petugas berkenaan.

Selepas mengangkat jari telunjuk, wanita tersebut secara perlahan-lahan melafazkan kalimah suci itu satu persatu dengan agak lancar tanpa menghadapi masalah.

Sementara itu, pendakwah Firdaus Wong Wai Hung dalam satu hantaran di laman Facebook berkata, warga emas itu semakin beransur sihat dan dia tidak ditidurkan.

“Seorang daripada anaknya juga telah lebih awal memeluk Islam.

“Kejadian ini dikatakan berlaku di Hospital Duchess of Kent, Sandakan di Sabah,” tulisnya.

Rakaman berdurasi dua minit 15 saat itu menerima hampir 10 ribu tanda suka dan 69,000 tontonan.

Kebanyakan wargamaya meluahkan sebak melihat paparan video berkenaan. Rata-rata juga turut menitipkan doa agar wanita tersebut diberikan kesembuhan.

Sumber: Facebook Firdaus Wong Wai Hung – Official

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *