Tunggu kami di syurga ya” – Akhirnya Afnan Menghembuskan Nafas Terakhir Selepas Beberapa Minit Alat Bantuan Penafasan Dicabut

BAYI sulung penyanyi Azmi Saat yang berusia tiga hari meninggal dunia selepas mengalami masalah kesihatan kira-kira pukul 12.00 tengah hari, Khamis.

Perkara itu disahkan pengurusnya, Syah Rahman yang memaklumkan bayi diberi nama Khairul Afnan itu menghembuskan nafas terakhir dipangkuan ibunya, Nazira Muhammad di Hospital Pakar Ohana, Kuala Lumpur.

“Selepas alat bantuan pernafasan dicabut, Azmi dan isteri diberi peluang meriba anak mereka sehingga nafas terakhir.

“Afnan sah meninggal dunia beberapa minit kemudiannya… kita doakan semoga pasangan ini diberikan kekuatan melalui ujian cukup mencabar ini,” kata Syah ketika dihubungi mStar.

Pada pagi Khamis, Azmi yang juga merupakan vokalis kumpulan Caliph Buskers memaklumkan bayi lelakinya itu berdepan penyakit yang masih belum diketahui punca sehingga perlu menerima bantuan pernafasan.

azmi 1

Azmi dan isteri teruja timang anak sulung pada Isnin lalu.

Reda menerima ujian itu, Azmi, 34, memohon orang ramai mendoakan kesihatan anaknya yang kini masih berada di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

“Mohon tolong doakan Afnan. Afnan tak sihat. Kami sedang diuji. Allah mudahkan urusan kami waktu proses mengandung tapi sekarang Allah nak uji kami.

“Allah mudahkan proses bersalin tapi sekarang Allah nak uji kami. Allah letakkan rasa teruja dalam hati kami tapi sekarang Allah nak uji kami.

“Itulah Allah pemilik sekalian alam. Dia yang maha merancang dan maha mengetahui segalanya. Mungkin ada antara kalian yang Allah makbulkan doanya.

“Apa pun yang berlaku, kami reda dengan ketentuan takdir-Nya. Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya menerusi laman Instagram.

Sementara itu, Syah turut memaklumkan masih belum mengetahui penyakit yang dihidapi oleh bayi itu kerana perlu menjalani pemeriksaan pakar terlebih dahulu.

azmi 3

Perkongsian Azmi di Instagram mengenai keadaan kesihatan anaknya.

“Saya pun belum dapat hubungi Azmi lagi… cuma terakhir malam tadi dia ada beritahu Afnan tak sihat. Kata Azmi, Afnan bernafas dengan bantuan alat pernafasan.

“Doktor syak bahagian otak Afnan ada masalah sebab dia tak bergerak, jadi perlu buat ujian MRI untuk semak status otak dan punca sebenar,” kata Syah.

Pada Isnin lalu, Azmi dan isteri iaitu Nazira Muhammad, 35, meluahkan saya syukur dikurniakan cahaya mata pertama selepas penantian selama 10 tahun.

Kredit : Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *