“Emak ada cakap Abam datang lawat” – Ali dedah apa yg Abam cakap kat mak

GOMBAK – “Alhamdulillah, emak pergi pada penghulu segala hari dan segala urusannya lancar sejak meninggal dunia malam tadi sehingga selama dikebumikan.”

Itu luahan kesyukuran pelawak, Ali Puteh selepas pengebumian allahyarham ibunya, Sabariah Arshad, 64, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu di sini hari ini.

Malah Ali berkata, ibunya sebelum ini selalu menyatakan hasrat untuk ‘bertemu’ dengan arwah abangnya, arwah Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan.

Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkata, sejak pemergian Abam pada 10 Februari tahun lalu, ibunya sering meluahkan rasa rindu dengan Abam Bocey yang juga anak sulungnya itu.

“Cita-cita emak hendak jumpa abang tercapai, itulah cita-cita yang hari-hari dia cakap, emak rindu abang, hari ini dia pergi selama-lamanya dan saya reda setiap manusia yang hidup akan mati,” katanya.

Ali Puteh menyiram air dipusara jenazah ibunya, Allahyarhamah Sabariah Arshad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 01 OKTOBER 2021.

Beliau ditemui MalaysiaGazette selepas selesai majlis pengebumian ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu di sini kira-kira pukul 12 tengahari ini.

Terdahulu, jenazah tiba di Masjid BT8 pukul 9.00 pagi untuk dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.

Sabariah menghembuskan nafas terakhir akibat serangan asma dan komplikasi pelbagai penyakit di Hospital Selayang, di sini, pukul 11.54 malam tadi.

Pada Disember tahun lalu, arwah pernah dimasukkan ke Hospital Selayang kerana serangan asma hingga terpaksa ditidurkan dan perlu menggunakan alat bantuan pernafasan.

Arwah meninggalkan empat orang anak.

Sementara itu, Abam meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Gombak dipercayai akibat demam panas pada 10 Februari 2020.

Ali Puteh mengaminkan doa sejurus selesai menguruskan jenazah ibunya, Allahyarhamah Sabariah Arshad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 01 OKTOBER 2021.

Mengulas lanjut, Ali memberitahu, sehari sebelum arwah masuk hospital pagi Selasa lalu, Sabariah memberitahu Abam telah datang ‘melawatnya’ di rumah untuk membawanya pergi bersama.

Namun Ali hanya mampu memeluknya ibu dan menasihati agar ibunya tidak bercakap perkara yang pelik sebaliknya banyak berehat.

Ujarnya lagi, pada pukul 3 pagi, Sabariah mengadu sesak nafas dan terus dihantar ke Hospital Selayang sebelum ibunya ditidurkan pada pukul 10 pagi akibat paru-paru dimasuki banyak air.

“Malam Isnin lalu dia panggil saya ke bilik, saya tanya emak nak cakap apa? Kalau yang cakap bukan-bukan saya tak nak dengar.

“Mak nak cakap betul-betul ini dan dia peluk saya, mak sayang angah tapi mak betul-betul dah nak pergi dah. Tapi ketika itu emak tidak ada tanda-tanda sakit pun.

“Abang kau dah banyak kali ‘datang’ ke bilik emak, panggil emak ini. Saya kata, emak jangan merepek macam ni dan emak rehatlah tapi dia tetap cakap, abang sudah panggil dia, saya peluk dia.

“Pukul 3 pagi Selasa dia sesak nafas saya bawa ke hospital. Esok pukul 10 pagi doktor terpaksa tidurkan sebab paru-paru emak banyak air dan saya cuma datang semula untuk menuntut jenazah malam tadi selepas tiga hari,” ceritanya penuh sebak.

Ali menambah, dia reda dengan ketentuan Allah SWT apabila hilang tiga insan tersayang termasuk anaknya dalam setahun sembilan bulan lalu. – MalaysiaGazette

Sumber :  http://trendingsangat.pw/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *