Pernah Keluar Jarum Berkarat Dan Miang Buluh, Ustaz Kazim Kongsi 9 Langkah Perlu Buat Apabila Disihir

BARU-baru ini pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias mendedahkan dirinya mengalami kesakitan pada bahagian kaki akibat sihir.

Video beliau terpaksa menggunakan tongkat dan kerusi roda untuk bergerak tular di media sosial meraih perhatian ramai.

Pendakwah yang pandai berjenaka dan menyampaikan ceramah dengan gaya bersahaja itu turut mendedahkan pernah beberapa kali menjalani pembedahan berikutan disihir.

Katanya ia melibatkan bahagian perut, ari-ari dan beberapa beberapa bahagian lain.

Malah, Ustaz Kazim juga berkongsi foto sebilah jarum yang keluar dari perutnya tahun lalu.

Dalam foto yang dikongsikan, jarum berkenaan sudahpun berkarat.

 

“Saya mandi ketika itu, saya gosok dengan air Yassin, air limau dan mandian bidara, ketika itu jarum keluar. Subhanallah, Maha Suci ALLAH.

“Kalau tidak perut saya jadi kembung besar. Sekarang perut saya kecil sedikit,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pernah disantau pada tahun 1998 dan berubat di Batu Kurau, Perak di mana bahan sihir berupa miang buluh dikeluarkan dari dada ke atas daun pisang.

Katanya ketika disantau, beliau memang merasa dadanya sakit. Namun pemeriksaan perubatan mendapati dia hanya mengalami jangkitan virus.

Dalam sesi Facebook live berkenaan perawat Islam, Ustaz Herman Sudil dari Pusat Rawatan Islam Terapi bil Quran, berkata sihir amat berbahaya dan benar-benar wujud.

Malah katanya ia mudah dilakukan pada masa kini menerusi dalam talian. Menurut Ustaz Herman dengan kos RM80, sihir untuk memisahkan suami isteri boleh dilakukan.

Bahkan perawat itu turut menceritakan kes penemuan bomoh muda di Pulau Pinang yang pernah menggemparkan negara baru-baru ini.

Difahamkan bomoh berkenaan yang menjalankan sihir secara dalam talian. Justeru, sihir tidak mustahil dilakukan pada zaman moden ini!

Menjawab persoalan diajukan, Ustaz Kazim turut berkongsi beberapa langkah yang boleh dilakukan mereka yang dianiaya dengan perbuatan khianat itu.

Berikut adalah langkah-langkah yang sebaik-baiknya dilakukan;

1.Perlu membezakan sihir dan penyakit ain kerana ia memerlukan rawatan yang berlainan.

2.Siasat dan semak serta meneliti sakit yang dialami terlebih dahulu dari segi perubatan moden dan kemungkinan penyakit.

3.Dapatkan rawatan dari pusat rawatan yang jujur dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

4.Berusaha mengubati diri sendiri dengan menghabiskan bacaan Al-Quran sebanyak 30 juzuk di dalam rumah.

5.Membaca surah Al-Baqarah sehingga habis.

6.Memperbanyakkan sedekah. Katanya dengan bersedekah, mudah-mudahan ALLAH memberikan kesembuhan.

7.Mengamalkan sembahyang pada waktu malam walaupun hanya dua rakaat.

8.Berpegang kepada prinsip apa yang dialami tidak seberapa berbanding dengan orang lain alami. Jangan putus asa kerana setiap ujian itu menaikkan darjat kita disisi ALLAH.

9.Jangan terlalu memanjakan penyakit dan simptom yang dialami, ia perlu dilawan.

Di akhir sesi live berkenaan, Ustaz Kazim berpesan kepada yang amalkan sihir untuk berhenti melakukannya.

“Cukuplah. Kita akan berteman dengan syaitan dalam neraka. Takkan kita nak jadi peneman iblis?” katanya.

Sihir adalah ilmu berkaitan perbuatan halus melalui pertolongan makhluk ghaib sama ada syaitan atau jin yang lebih berfokus kepada perbuatan untuk menyakiti, memudaratkan atau mengelirukan manusia.

Hukum perbuatan sihir dalam Islam adalah berdosa besar. Diharapkan kita semua terhindar daripadanya.

Sumber:  Facebook Dato’ Ustaz Mohd Kazim EliasPusat Rawatan Islam Terapi bil Quran, Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *