MARSHAL SEKAT JALAN UNTUK LALUAN KONVOI MOTOSIKAL BERKUASA BESAR, INI KATA-KATA PIHAK BERKUASA TENTANG INI

Polis sedang mengesan pengiring (marshal) konvoi motosikal berkuasa tinggi yang memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong di sini, seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, video yang tular itu menunjukkan aksi marshal memberhentikan kenderaan awam bagi memberi laluan ahli konvoi melalui persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Katanya, rakaman video berdurasi satu minit 10 saat yang dimuat naik ke laman sosial Facebook oleh pemilik akaun Epul Adam Helmet Bajet yang menunjukkan aksi marshal mengawal dan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong.

“Ketika kejadian lampu isyarat jelas berwarna merah dan tujuan tindakan marshal dipercayai bertujuan untuk memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak dalam konvoi bagi melepasi lampu isyarat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, konvoi motosikal berkuasa besar itu bergerak dari Lebuh Raya Seremban – Port Dickson (SPDH) menghala masuk melalui lampu isyarat Sua Betong menghala ke Bulatan Sunggala Telok Kemang.

“Polis sedang mengesan individu yang bertindak sebagai marshal berkenaan dan sesiapa yang memiliki maklumat berkaitan kejadian diminta beri kerjasama kepada pihak IPD PORT Dickson di Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik atau menghubungi talian terus di talian 06-6472222.

VIDEO

“Peserta konvoi kenderaan tidak boleh membuat sebarang tindakan memberhentikan, mengawal, melencong kenderaan di jalan awam tanpa sebarang kehadiran anggota atau pegawai polis kerana boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.

Aidi Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Polis dan Sekyen 79(2)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tindakan marshal itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang menyifatkan perbuatan itu sebagai besar kepala dan menyusahkan orang lain.

Kredit:HMETRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *