20 Tahun Wanita Ini Tahan Sakit, Rupanya Gunting Bedah Tertinggal Dalam Perut

Menjadi lumrah manusia untuk menyerahkan segala usaha merawat kepada golongan pakar. Namun apabila berdepan situasi di mana alat bedah tertinggal di dalam badan manusia selepas pembedahan (retained surgical items) ia boleh membuatkan pesakit untuk mendapat sakit tambahan.

Seorang wanita dilapor terkejut selepas mendapat tahu bahawa sakit berterusan yang dialaminya hampir 20 tahun lalu adalah disebabkan gunting pembedahan yang tertinggal di dalam perutnya, lapor  Oddity Central.

Menurut laporan, kejadian itu dikatakan berlaku di Bangladesh di mana mangsa, Bachena Khatun, 55, mengalami sakit perut yang berterusan sejak menjalani pembedahan membuang batu karang di salah sebuah klinik di Chuadanga pada tahun 2002.

Walau bagaimanapun, setelah wanita itu dibenarkan keluar daripada klinik, dia mula mengalami sakit di bahagian perutnya.

Beberapa hari selepas menjalani pembedahan itu, dia kembali ke klinik berkenaan untuk memberitahu kesakitan yang dialaminya.

Tetapi agak mengejutkan apabila doktor pakar bedah dan dua doktor bedah yang lain mengatakan bahawa sakit itu adalah normal dan dia tidak perlu risau.

Akibat sakit perut yang Bachena alami masih ada, dia kemudiannya berjumpa dengan doktor lain dan menjelaskan kesakitan yang dialaminya selepas pembedahan itu.

Namun tidak disangka, doktor yang lain itu hanya memberikannya ubat untuk mengurangkan gejala sakit perut.

Sepanjang wanita ini mengalami kesakitan, dia terpaksa menjual dua ekor lembu yang merupakan aset terakhir miliknya untuk membayar kos rawatan dan ubat-ubatan yang dia perlukan demi menghilangkan rasa sakit.

Namun, nasibnya dikatakan agak malang apabila sakit yang dialami semakin lama semakin tidak dapat dibendung.

Dinasihatkan buat X-ray & segalanya terbongkar

Tetapi, atas nasihat doktor baru-baru ini, dia akhirnya menjalani ujian X-ray di bahagian perut.

Agak mengejutkan apabila keputusan ujian X-ray menunjukkan bahawa terdapat sebuah gunting pembedahan yang dilihat begitu besar telah ditinggalkan di dalam perutnya.

Gunting itu dipercayai tertinggal ketika dia menjalani pembedahan batu karang pada 20 tahun lalu.

Kini, Bachena Khatun dimasukkan ke Hospital Chuadanga Sadar di mana doktor di sana perlu memerhatikan tahap diabetis wanita itu demi memastikan pembedahan untuk mengeluarkan gunting itu dapat dijalankan dengan selamat.

Tambah laporan, dia telah menjalani pembedahan pada Isnin lalu dan kini dia semakin pulih.

Difahamkan, pakar bedah awam iaitu Dr. Jawaherul Islam berkata, siasatan akan dijalankan untuk menyiasat bagaimana gunting bedah itu boleh tertinggal di dalam perut wanita berkenaan.

Turut dilaporkan pada tahun 2019, kes yang hampir sama terjadi ke atas seorang wanita Rusia yang mempunyai pengapit pembedahan (surgical clamp) yang tertinggal di dalam perutnya kira-kira 23 tahun lalu.

Sumber: Oddity Central

Kredit : Siakap Keli

Leave a Reply

Your email address will not be published.