Isteri Rakam Aksi ‘Berani’ Suami Terjun Sungai, Tak Sangka Jadi Rakaman Detik Akhir Sebelum Maut

Disuruh merakam aksi suami terjun ke dalam sungai ais, wanita ini tak menyangka video tersebut akhirnya menjadi rakaman detik terakhir suami sebelum ditemukan meninggal dunia, lapor Mirror.

Kejadian tragis yang menimpa lelaki berusia 38 tahun itu berlaku pada Ahad di Sungai Chortomlyk, Ukrain. Lelaki berkenaan awalnya menyuruh si isteri merakam dirinya yang bakal terjun ke dalam sungai melalui sebuah lubang yang ditebuk pada permukaan sungai ais berkenaan.

Ketika itu, suhu di kawasan tersebut dikatakan berada pada -5 darjah Celcius. Sang isteri sempat ragu-ragu dengan bertanya sama ada lelaki tersebut takut untuk terjun ke dalam sungai ais berkenaan.

Gambar: YouTube Pittsburgh Girl

Namun suaminya lantas menjawab tidak dan turut memberi jawapan sama apabila ditanya jika dia merasa sejuk.

Lelaki berkenaan kemudian memasukkan kakinya terlebih dahulu ke dalam sungai yang dingin itu, manakala si isteri dilihat semakin khuatir.

Semasa wanita itu merakam aksi suaminya, lelaki berkenaan terlihat seperti tenggelam dan kelibatnya hilang di dalam air sungai ais yang keruh itu.

Memetik laporan Mirror, jasad lelaki tersebut ditemui pada keesokan harinya oleh pasukan penyelamat.

Gambar: East2West News

Menurut media setempat, mangsa dikatakan lemas setelah terperangkap di bawah lapisan ais. Pasukan penyelamat menemukan tubuh lelaki berkenaan pada kedalaman 13 kaki atau kira-kira empat meter, 70 kaki (kira-kira 21 meter) dari tebing sungai.

Sumber: Mirror

Leave a Reply

Your email address will not be published.