“Dia Takkan Ganggu Kamu Lagi.” – Adam’s Family Akur Kontrak Rumah Sewa Tak Diperbaharui Gara-Gara Anak Autisme

Personaliti media sosial yang sering sahaja mengetengahkan isu anak-anak Autisme, Adam’s Family baru-baru ini ada meluahkan rasa kecewa apabila mereka sekeluarga terpaksa berpindah kerana kontrak sewaan kediamannya tidak lagi diperbaharui.

Perkara tersebut difahamkan berlaku berikutan aduan yang dibuat oleh jiran-jiran mereka yang kurang menyenangi kehadiran anak istimewanya, Adam yang menghidap Autisme.

 

Luahan hati itu dibuat bapa Adam, Iman Wan Tuck Meng menerusi sebuah hantaran di laman Instagram untuk tatapan pengikut media sosialnya.

Kepada jiran di kiri dan kanan kami di Temasya Suria (Shah Alam). Kami tahu apa yang anda lakukan dna kami tahu anda orang yang macam mana. Tapi jangan bimbang, impian anda sudah menjadi kenyataan.

Kamu dah berjaya minta pemilik untuk tidak memperbaharui sewaan kami. Kami akan berpindah keluar hujung bulan ini. Anak lelaki saya tidak akan ganggu kamu lagi.

Difahamkan, anak kedua Iman, Adam,20 telah disahkan menghidap ‘Autism Spectrum Disorder’ (ASD) dan gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) sejak dia berusia dua tahun enam bulan.

 

Ujar Iman, pemilik rumah sewa yang didiami mereka berasa tertekan kerana aduan yang dibuat oleh jiran-jiran kepadanya sehingga dia mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak sewaan Iman dan keluarga.

Katanya, walau apapun yang terjadi, dia dan keluarga berasa reda dengan apa yang berlaku dan yakin dengan takdir Allah S.W.T.

“Saya percaya Allah mempunyai perancangan yang lebih baik. Kami reda. Kami perlu bekerja lebih keras dan terus mendidik tentang kesedaran, penerimaan dan pemahaman autisme. Insyallah.” luah Iman.

Adam’s Family dikenali di media sosial Instagram kerana sering berkongsi aktiviti harian keluarga mereka di samping mendidik masyarakat mengenai penyakit Autisme.

Leave a Reply

Your email address will not be published.