Dapat Motosikal Percuma Jika Solat Berjemaah 40 hari, Inisiatif Masjid Ini Raih Pujian Netizen

Sebuah masjid di Melaka mencuri tumpuan apabila pihak pengurusan pusat ibadah itu menawarkan hadiah motosikal dalam usaha mengimarahkan masjid dalam kalangan penduduk setempat, seperti laporan Harian Metro.

Jika sebelum Masjid Nur As-Sa’adah ada mengadakan Program Istiqamah Subuh Berjemaah 40 hari yang telah menghadiahkan 40 basikal berharga RM20,000 kepada anak kariah.

Untuk edisi kali ini, pengerusi masjid Datuk Amzah Osman memaklumkan bahawa sebanyak empat buah motosikal jenama Modenas Kriss MR3 berharga RM16,000 akan menjadi milik mereka yang layak.

Kata Amzah, jemaah terpilih perlu memenangi empat kategori yang dipertandingkan Program Istiqamah Subuh dan Isyak Berjemaah 40 Hari bermula 1 Mac hingga 9 April ini.

Empat kategori yang dimaksudkan adalah khusus untuk anak kariah untuk kategori pertama, kategori kedua terbuka kepada penduduk luar, manakala kategori ketiga dan keempat adalah untuk pegawai syarak, jawatankuasa dan pekerja masjid serta kaum wanita.

Jika ingin memenangi hadiah lumayan itu, peserta diwajibkan untuk berjemaah solat Subuh dan Isyak di Masjid selama 40 hari berturut-turut.

Dalam pada itu, Datuk Amzah menjelaskan bahawa niat mereka mengadakan program tersebut adalah untuk menggalakkan orang ramai mengimarahkan masjid dan rata-rata kariah yang hadir bukanlah sebab semata-mata untuk memenangi hadiah atau ganjaran tetapi untuk menunaikan ibadah.

“Harapan kami mudah-mudahan institusi masjid ini akan jadi mesra kanak-kanak dan remaja kerana mereka inilah bakal pelapis dalam mengimarahkan rumah Allah ini pada masa depan.” ujarnya lagi.

SUMBER : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published.