Kepala Tersangkut Di Kain Buaian, Bayi 15 Bulan Maut Di Rumah Pengasuh

Seorang bayi berumur 15 bulan dilaporkan meninggal dunia setelah lehernya tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat jagaan yang terletak di Taman Nusari Aman,2, Bandar Sendayan, Seremban petang semalam, seperti laporan Berita Harian.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof yang berkata bayi malan itu ditidurkan di dalam bilik oleh pengasuh kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Bayi itu diberikan susu sebelum ditidurkan dan kemudiannya pengasuh tersebut keluar untuk melakukan kerja lain.

Pengasuh itu kemudiannya masuk ke bilik sekitar jam 3 petang dan mendapati bayi itu dalam keadaan tersangkut pada kain buaian.

Ujar Nanda lagi, bayi itu kemudiannya cuba diselamatkan dengan bantuan kecemasan pernafasan (CPR) tetapi gagal bernafas semula sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Sendayan.

“Kanak-kanak itu sempat dirawat doktor, namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 petang.” jelas Nanda.

Hasil siasatan mendapati bayi itu dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan leher dan kepalanya terkeluar daripada buaian dan tergantung pada kain buaian, manakala badannya berada dalam buaian.

Mayat si kecil itu telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar bagi prosedur bedah siasat untuk siasatan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.