“Saya bagai hilang kata-kata diberi peluang kedua ini” – Ali XPDC

KUALA LUMPUR: Tiga jam menjenguk vokalis kumpulan XPDC, Ali, 54, menterjemahkan pelbagai kisah suka duka.

Luarannya, Ali atau nama sebenarnya, Mohd Ali Ismail dilihat kental dan kebal kerana bergelar penyanyi rock.

Hakikatnya, jiwa Ali rapuh dan manja seperti keanak-anakan. Perkara itu diakui isterinya, Sharifah Azuwanna Syed Joned yang menjadi pasangan hidupnya sejak 27 tahun lalu.

Ali diuji dengan ser4ngan angin ahmar selain pernah ditidurkan kerana kesuk4ran bernafas akibat mas4lah jantung dan paru-paru, baru-baru ini.

Namun, umpama mati hidup semula, penyanyi berasal dari Klang, Selangor diberi peluang kedua terus bernyawa. Bagaimanapun, kehidupan tidak lagi seperti kebiasaannya.

Ketika ini, makan dan minum penyanyi lagu Bunga Angkasa itu menggunakan tiub kerana tekak masih sakit.

“Alhamdulillah, saya bagai hilang kata-kata diberi peluang kedua ini. Saya pernah berada pada tahap peratusan 50/50 untuk hidup.

“Seperti nyawa-nyawa ikan, Allah tarik nikmat aset suara dimiliki, tetapi dibentangkan banyak hikmah.

“Namun, kini keadaan saya semakin pulih. Sebelum ini, nak bercakap pun susah. Sekarang sudah boleh bercakap, walaupun tidak lancar.

“Jika susah sangat nak bercakap, isteri yang jadi jurucakap,” katanya kepada BH Online ketika ditemui di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor, kelmarin.

Ali berkata, sehingga kini, dia masih meneruskan fisioterapi dan ‘rehab’ seminggu sekali di Hospital Rehabilitasi Cheras.

“Pergerakan dan kos ulang-alik ke hospital juga dapat dijimatkan kerana saya sudah berpindah dengan menyewa pangsapuri di Seri Kembangan sejak awal Ramadan lalu.

“Dahulu, banyak guna duit ketika saya tinggal di Klang,” kata Ali dalam nada sebak sambil menyeka air mata.

Kata Ali, dia bersyukur banyak pihak menghulurkan bantuan pada saat hilang punca rezeki.

“Kos rawatan di Hospital Ampang selama tiga minggu sebanyak RM12,000 ditanggung Baitulmal. Begitu juga bayaran sewa rumah RM850 dibantu badan berkenaan.

“Kediaman baharu disewa juga dibayar Baitulmal sebanyak RM800. Kami hanya bayar RM50 sahaja,” kata Ali.

 

Ali dan Sharifah Azuwanna menerima kunjungan Dr Ameer dan Haiza yang menyampaikan sumbangan dan bantuan baucar RM300 selama tempoh setahun untuk membeli barangan keperluan dapur di premis beli-belah itu. – NSTP/Zaidi Mohamad

Namun, sejak awal Ramadan lalu, Ali enggan terus berpeluk tubuh mengusahakan perniagaan menjual kerepek dan kuih tradisional.

“Takkan saya terus mahu menerima sumbangan orang ramai. Jadi anak mengesyorkan saya menjalankan perniagaan. Akhirnya, rakan mencadangkan saya menjual kerepek dan kuih yang diusahakannya.

“Kami berniaga di tapak Pekan Sungai Besi. Tapak pun kawan saya uruskan tanpa perlu membayar sewa.

“Cuma saya terpaksa menggadaikan barang kemas isteri sebagai jadi modal ketika mahu memulakan perniagaan. Dapatlah mengumpul duit sebanyak RM8,000.

“Ketika ini, tiga anak bergilir-gilir menjaga gerai. Ini kerana saya belum kuat untuk menjaganya seorang diri.

“Hasil jualan ini bolehlah menampung kehidupan kami sekeluarga. Alhamdulillah, pernah hasil jualan cecah RM300 sehari,” kata Ali sambil memberitahu wakil kelab peminat XPDC turut datang ke rumah dan mempromosikan perniagaan diusahakannya.

Akui Ali, dia teringin mahu menikmati pelbagai menu kegemaran.

“Namun, buat masa ini, saya tak boleh makan beriya-iya. Terutamanya, kena elak makanan keras. Tambahan nak raya, saya teringin makan ketupat dan lontong, namun, apakan daya.

“Sekarang tengok kek pun sudah seperti tiada perasaan.

“Tahun ini, saya tidak boleh berpuasa disebabkan keadaan kesihatan yang belum pulih. Saya juga harus minum susu enam kali sehari untuk membekalkan tenaga selain makan ubat.

“Setiap kali dengar laungan bacaan solat Tarawih di surau berdekatan hati jadi sayu. Saya tidak boleh melipatgandakan pahala pada bulan puasa kerana keterbatasan diri.

“Isteri selalu memujuk akan menemani saya melakukan qada puasa apabila sudah sihat,” katanya.

Bapa kepada lima cahaya mata itu menambah, dia sepatutnya menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah pada 10 malam terakhir Ramadan.

“Agensi umrah sanggup nak bawa saya, walaupun perlu berkerusi roda. Namun, isteri tidak setuju kerana akan menyusahkan orang lain.

“Jadi, saya anggap tiada rezeki. Sebelum ini, saya pernah tujuh kali mengerjakan umrah.

“Dua kali saya pergi bersama isteri pada 2018 dan 2021,” katanya.

Sementara itu, Sharifah Azuwanna berkata, ujian dilalui Ali menjadi ruang terbaik untuk menyokongnya suaminya.

“Dahulu selama lima kali melalui fasa kehamilan, suami bersusah payah menjaga saya. Apabila pernah rasa loya nak muntah, suami sanggup tadah tangan.

“Kini, ketika suami diuji, saya pula menjaganya. Saya sebenarnya jenis cepat geli dengan benda memualkan, namun, hilang rasa geli ketika menjaga suami, termasuk membantunya ke tandas.

“Saya tahu suami memang sedih tidak dapat berpuasa. Dahulu ketika sihat, suami takkan tinggal puasa, malah siap buat puasa sunat lain, termasuk puasa enam,” kata Sharifah Azuwanna.

Terdahulu, Ali dan isterinya turut menerima kunjungan stesen radio Buletin FM bersama Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin yang menyampaikan sumbangan dan bantuan baucar RM300 sebulan selama tempoh setahun untuk membeli barangan keperluan dapur di premis beli-belah itu.

Yang turut hadir, penyampai radio Buletin FM, Haiza Hanafi bagi menyerahkan sumbangan peribadi dan barangan stesen radio berkenaan.

 

Sumber: BH

Leave a Reply

Your email address will not be published.