Dugaan Aidilfitri, anak2 reda ibu & ayah meninggal dunia selang 12 jam

Kehilangan ibu dan bapa dalam masa yang sama bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui oleh seorang anak. Lebih-lebih lagi jika mereka dijemput Ilahi pada hari raya yang mana orang ramai sedang bahagia bersama keluarga masing-masing.

Ibu dan ayah meninggal selang 12 jam 2 minit

Namun begitu, perkara yang cukup menyakitkan itu terjadi dalam hidup seorang pengguna Twitter dikenali sebagai faezahfakrii apabila menceritakan yang ibu dan bapanya meninggal dunia selang 12 jam 2 minit pada hari yang sama.

 

Posting yang begitu menyayat hati itu turut dikongsikan kepada akhbar Harian Metro apabila kakak kepada pengguna Twitter berkenaan menceritakan kronologi sebelum kedua-dua insan istimewa dalam hidup mereka ‘pergi’ di bulan Syawal ini.

Farahana Mohd Fakri, 28, dia dan dua adik perempuannya tetap reda selepas ibu, Norsah Chik, 59, dan bapa, Mohd Fakri Abdullah, 60, meninggal dunia hanya berselang 12 jam ketika umat Islam sedang bergembira menyambut hari raya.

Ibu meninggal kerana kanser, bapa ‘pergi’ kerana serangan jantung

Menurutnya, ibu mereka telah meninggal dunia pada 8.50 pagi di rumah mereka di Guar Chempedak selepas menderita kanser usus tahap empat manakala arwah bapa pula pada 8.50 malam di hospital akibat serangan jantung.

Pada awalnya, dia telah membawa ibu tersayang pergi ke klinik untuk membuat pemeriksaan kerana terlihat matanya yang bertukar kuning dan keadaan fizikal yang begitu kurus.

“Ibu kemudiannya terpaksa dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum doktor yang melakukan pemeriksaan memberitahu yang arwah menghidap kanser usus tahap empat.”
“Doktor pada mulanya mahu melakukan pembedahan namun selepas perbincangan, kami tiga beradik mengambil keputusan untuk membawa ibu pulang dan menjaganya secara bergilir,” katanya.

Dapat panggilan dari hospital tentang keadaan bapa ketika urus jenazah ibu

Selepas ibunya menghembuskan nafas yang terakhir pada pagi kelmarin dia telah mendapat panggilan daripada pihak hospital memaklumkan yang bapa mereka pula berada dalam keadaan nazak selepas mengalami serangan jantung.

Ketika itu mereka berada dalam situasi yang sedikit sibuk kerana sedang menguruskan jenazah ibu dan membaca surah Yassin sebelum jenazah dikebumikan.

“Sebaik tiba di hospital, saya sempat meminta maaf kepada bapa selain turut memberitahunya yang ibu sudah meninggal dunia walaupun bapa ketika itu sudah tidak sedarkan diri.
“Bagaimanapun, bapa disahkan meninggal dunia pada 8.50 malam oleh doktor akibat serangan jantung dan kami sekeluarga reda dengan pemergian dua insan tercinta pada hari yang sama,” katanya.

Walau bagaimanapun, mereka adik-beradik reda dengan ketentuan tersebut dan mengetahui yang perancangan Allah S.W.T lebih hebat berbading perancangan manusia.

Ibu dan bapa sudah 4 tahun berpisah

Untuk memberi penjelasan yang lebih tepat, adik kepada Farhanaa yang juga merupakan pengguna Twitter telah memaklumkan yang ibu bapa mereka sudah berpisah sejak tahun 2018.

Namun begitu, berharap agar mereka dipertemukan di syurga walapun tidak dapat bersama selamanya di alam perkahwinan.

Sumber: Twitter @faezahfakrii, Harian Metro (Izaq Thaqif Hassan)

Kredit : OMM

Leave a Reply

Your email address will not be published.