“Paksa diri berhijab, lama2 jatuh cinta nak tutup aurat..” – Isteri Haqiem Rusli

Isteri kepada penyanyi dan komposer, Haqiem Rusli iaitu Anis Sofea berkongsi pengalaman selepas tampil dengan imej berhijab sejak lapan bulan lalu.

Menurut laporan Utusan Online, wanita berusia 20 tahun itu mengakui agak sukar untuk kekal istiqamah sehingga pernah terfikir untuk membuka semula hijab.

“Nak cerita sedikit boleh, tentang perubahan Fea berhijrah memakai hijab, pada mulanya memang berat dan susah sangat sangat Fea untuk istiqamah menutup aurat.
“Alhamdulillah, Allah permudahkan. Sudah masuk lapan bulan Fea memakai hijab. Mula-mula itu memang rasa serba tak kena.
“Dan pernah juga terasa macam ‘hm nak buka tudung balik lah’, tapi betul lah orang kata bila kita paksa diri kita, lama-lama akan jatuh cinta untuk nak menutup aurat,” tulisnya menerusi ciapan di laman Twitter baru-baru ini.

Namun begitu, dia yang mengusahakan restoran makanan steamboat Santhai Village mengakui dirinya belum sempurna dalam menutup aurat selain memohon doa pengikutnya supaya kekal istiqamah di jalan Allah SWT.

“Tetapi untuk sekarang, memang Fea tidak menutup aurat dengan sempurna lagi, tapi semua doakan Fea ya! Fea juga nak beritahu alhamdulillah kini rasa tenang dan cantik sahaja memakai tudung (haha perasan).
“Macam mana nak cakap eh, kadang kala lebih suka melihat diri sendiri memakai tudung dan suka melihat perempuan di luar sana yang memakai tudung, nampak manis sahaja!,” katanya.

Sofea atau nama penuhnya Wan Anis Sofea Wan Zamzuri berkahwin dengan penyanyi yang popular menerusi lagu Mimpi itu pada 19 November tahun lalu.

Pasangan tersebut mula bercinta cinta sejak dua tahun lalu selepas saling mengenali sewaktu bersama-sama menguruskan perniagaan restoran berkenaan.

Sumber: Utusan Online (Fathullah Abu Bakar) , Twitter & Instagram Anis Sofea

Kredit : OMM

Leave a Reply

Your email address will not be published.