Pernah tular ‘drive’ guna kaki, wanita tanpa kedua-dua tangan selamat bernikah

Pernah tular kerana dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan, wanita orang kurang upaya (OKU) Norfarrah Syahirah Shaari selamat melangsungkan pernikahan dengan lelaki pilihan hatinya Zulfadli Syahrul di Bagan Datuk, Perak semalam.

Menurut laporan mStar, lelaki berusia 33 tahun itu meluahkan kesyukuran atas pernikahan tersebut selepas mereka mengambil masa setahun untuk saling mengenali.

Pernah tular ‘drive’ guna kaki!

“Saya akui sebak ketika melafazkan taklik selepas akad nikah. Saya bersyukur kami menjadi suami isteri dan saya anggap dia sebagai jodoh jatuh dari langit,” katanya.

Bercerita tentang detik perkenalan, Zulfadli berkata, dia mula terpikat sebaik menonton salah satu video yang memaparkan Norfarrah di saluran YouTube sebelum menghantar mesej di Instagram dan Facebook.

“Tiga kali saya cuba tapi mesej tidak berbalas. Hanya selepas lebih dua tahun iaitu kira-kira dua hari menjelang Hari Raya Aidiladha tahun lepas barulah dia membalas mesej saya.
“Saya serius untuk berkenalan dengan dia, saya datang ke rumah keluarganya di Bagan Datuk pada petang Hari Raya Aidiladha itu,” kongsinya.

Bagaimanapun, dia tidak melihat kekurangan pada wanita berusia 35 tahun itu sebagai penghalang sebaliknya menyifatkan isterinya tidak ubah seperti ‘superwoman’.

“Saya tak nampak dan tak pernah memikirkan kekurangan pada dirinya. Dengan hanya menggunakan kaki, dia mampu melakukan banyak perkara seperti orang lain.
“Isteri saya sebenarnya adalah super woman, dia ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri,” ujarnya.

Tambah Zulfadli yang mempunyai perniagaan sendiri, dia mengakui terpikat dengan sifat lemah-lembut Norfarrah apatah lagi pandai memujuk sehingga ‘cair’.

“Kalau nak digambarkan, cara dia lembutkan hati seseorang macam budak kecil yang belajar berjalan sambil pujuk mak ayah.
“Cara memujuk dia memang sangat comel. Berselisih faham dengan pasangan adalah perkara biasa dan kami juga pernah melalui situasi itu.
“Tapi dia pernah pandu kereta dari Bagan Datuk ke Kuala Lumpur semata-mata nak pujuk saya. Jatuh air mata jantan saya melihat kesungguhan dia,” katanya lagi.

Sebelum ini, kisah inspirasi Norfarrah mendapat perhatian ramai oleh kerana kemahirannya memandu kereta dan mengawal stereng menggunakan kaki sahaja.

Sumber: mStar (Iwan Shu-Aswad Shuaib)

Kredit : Oh My Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *